COPANHAGEN, 16 Ogos - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis memberi amaran bahawa akan berlaku lonjakan kes import strain cacar monyet atau mpox yang lebih berbahaya di rantau Eropah.
Ini selepas Sweden mengumumkan jangkitan pertama seumpama itu di luar Afrika dalam wabak yang telah membunuh ratusan di Republik Demokratik Congo (DRC).
Kes yang direkodkan dalam pengembara di Sweden diumumkan sehari selepas WHO mengisytiharkan lonjakan demam berdarah di Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.
Agensi kesihatan PBB itu bimbang dengan peningkatan kes dan kematian di DRC dan penularan ke Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda.
Agensi Kesihatan Awam Sweden pada Khamis berkata bahawa mereka telah mendaftarkan satu kes subklade Clade 1b, strain baharu virus yang sama yang telah melonjak di DRC sejak September 2023.
"Seseorang yang mendapatkan rawatan" di Stockholm "telah didiagnosis dengan mpox yang disebabkan oleh varian clade 1. Ia adalah kes pertama yang disebabkan oleh clade I yang didiagnosis di luar benua Afrika," kata agensi itu dalam satu kenyataan berasingan.
Orang itu telah dijangkiti semasa lawatan ke "bahagian Afrika di mana terdapat wabak besar mpox Clade 1", kata Pakar Epidemiologi Sweden, Magnus Gisslen.
Pejabat WHO wilayah Eropah di Copenhagen berkata pihaknya sedang berbincang dengan Sweden cara terbaik untuk menguruskan kes yang baru dikesan itu.
"Pengesahan mpox Clade 1 di Sweden adalah gambaran yang jelas mengenai kesalinghubungan dunia kita," katanya dalam satu kenyataan.
"Kemungkinan terdapat lagi kes import Clade 1 di rantau Eropah dalam beberapa hari dan minggu akan datang, dan adalah penting untuk kita tidak menstigmatisasi pengembara atau negara/rantau."
"Sekatan perjalanan dan penutupan sempadan tidak berkesan dan harus dielakkan," tambahnya.-AFP