fb fb fb fb fb

Tujuh maut di Filipina bertempur dengan kumpulan pelampau

Kumpulan pelampau Dawlah adalah satu daripada beberapa puak pelampau kecil bersenjata yang mengaku bertanggungjawab pengeboman pada 3 Disember lalu ke atas Katolik di Marawi mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan puluhan yang lain/ AFP

MANILA, 19 Februari- Seramai enam anggota tentera dan sekurang-kurangnya seorang ahli kumpulan pelampau terbunuh di selatan Filipina, ketika pasukan keselamatan memburu kumpulan yang dipercayai mengebom dalam satu perhimpunan Katolik pada Disember lalu.

Jurucakap tentera Filipina, Kolonel Louie Dema-ala memaklumkan pertempuran berlaku semalam dalam hutan berhampiran bandar Munai di Pulau Mindanao.

"Ini adalah sebahagian daripada operasi menentang kumpulan pelampau. Malangnya, kami mengalami kemalangan jiwa," katanya.

Seramai empat tentera Filipina dilaporkan cedera selain mereka yang terbunuh, manakala kumpulan bersenjata itu meninggalkan mayat rakan seperjuangan yang terbunuh.

Kumpulan pelampau dikenali Dawlah adalah satu daripada beberapa puak pelampau kecil bersenjata yang mengaku bertanggungjawab ke atas pengeboman pada 3 Disember 2023 ke atas Katolik di Marawi yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan puluhan yang lain.

Tentera berkata bahawa seramai10 lagi anggota Dawlah terbunuh bulan lalu, termasuk ketua pengebom yang didakwa Khadafi Mimbesa.

Pada 2014, Manila menandatangani perjanjian damai dengan kumpulan pemberontak terbesar negara, Barisan Pembebasan Islam Moro untuk menamatkan pemberontakan bersenjata mereka.

Namun kumpulan kecil puak pelampau lain yang menentang perjanjian damai itu kekal, termasuk militan yang dikaitkan dengan Daesh. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI