PRN Johor: Peratusan tinggi bukti pengundi yakin terhadap proses demokrasi

Dr Zahrul Akmal Damin/ RTM

JOHOR BAHRU, 12 Julai- Peningkatan peratusan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam membuktikan minat dan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran pengundi termasuk pekerja di luar negara, seperti Singapura, mencerminkan keseriusan rakyat menentukan hala tuju negeri.
  • SPR melaporkan 1.87 juta pengundi atau 68.73 peratus keluar mengundi, menandakan kecenderungan pengundi memajukan kawasan.
  • Keputusan pengundi dipengaruhi faktor ekonomi, pembangunan serta kemampuan calon dan parti menyelesaikan isu setempat.
  • Parti perlu memahami keperluan lokal berasaskan data dan fakta supaya tawaran serta janji lebih relevan kepada masyarakat matang.

Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Zahrul Akmal Damin berkata kehadiran pengundi termasuk mereka yang bekerja dan berada di luar negara seperti di Singapura mencerminkan keseriusan rakyat melibatkan diri dalam menentukan hala tuju negeri.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 1.87 juta pengundi atau 68.73 peratus keluar mengundi pada PRN, ia memperlihatkan kecenderungan pengundi untuk memajukan sesuatu kawasan,” katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan pengundi dipengaruhi pelbagai faktor termasuk keadaan ekonomi, pembangunan serta kemampuan calon dan parti politik membawa penyelesaian terhadap isu setempat.

Menurutnya, pengundi kini semakin matang membuat penilaian berdasarkan keperluan dan isu yang dekat dengan kehidupan mereka, selain mengambil kira tawaran yang dikemukakan parti politik.

“Keutamaan pengundi juga berbeza mengikut kawasan kerana setiap lokaliti mempunyai isu dan keperluan tersendiri yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Katanya, calon dan parti politik perlu memahami kehendak masyarakat setempat bagi memastikan pendekatan serta tawaran yang dibawa lebih bersesuaian dengan keperluan rakyat.

Tambahnya, parti politik perlu memastikan tawaran dan janji yang dikemukakan kepada pengundi berasaskan data serta fakta, sejajar dengan kecenderungan masyarakat yang semakin matang membuat penilaian.

Peningkatan peratusan keluar mengundi direkodkan semalam berbanding PRN Johor ke-15 pada 2022 iaitu 54.92 peratus atau 1.42 juta daripada 2.59 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.