DAKAR, 29 November- Tentera Senegal merampas tiga tan kokain daripada sebuah kapal yang berlabuh di luar pantai, dalam salah satu penyeludupan dadah terbesar di negara itu, kata tentera laut pada Selasa.
Pihak berkuasa tentera laut berkata terdapat 10 anak kapal ditahan, salah seorang daripada mereka adalah warga Senegal.
Nilai rampasan dan identiti suspek yang ditahan bagaimanapun tidak didedahkan namun mereka mengesahkan bot itu dirampas di perairan antarabangsa.
"Sebuah bot peronda tentera laut merampas hampir tiga tan kokain tulen di atas kapal yang dipintas 150 kilometer (93 batu) di luar pantai Dakar", menurut tentera laut pada hantaran X.
Pegawai kanan tentera Senegal memberitahu kira-kira 2.975 tan kokain telah dirampas, kapal itu telah dipintas pada malam Ahad.
Kapal itu kemudian diiringi ke pangkalan tentera laut di Dakar di mana ia tiba pada hari Selasa untuk "pengenalpastian dan penilaian produk yang dirampas".
Badan PBB berkata antara 2019 dan 2022, sekurang-kurangnya 57 tan kokain telah dirampas di Afrika Barat atau dalam perjalanan ke rantau itu, terutamanya di Cape Verde (16.6 tan), Senegal (4.7 tan) dan Benin (3.9 tan).
Januari lalu, tentera laut Senegal turut merampas lebih 800 kg kokain daripada sebuah kapal di luar pantai Dakar.
Terdahulu pada Oktober 2022, Kastam Senegal mengumumkan rampasan 300 kg kokain, bernilai hampir RM37 juta euro, dalam trak peti sejuk yang datang dari negara jiran Mali.-AFP