GAZA, 17 November- Kira-kira 10,000 orang terperangkap dan menjadi tebusan dalam Hospital Al-Shifa di sini selepas tentera zionis mengepung bangunan berkenaan dan tidak membenarkan sebarang pemindahan dari hospital itu.
Jurucakap hospital, Ashraf Al-Qidra berkata, sesiapa sahaja yang cuba meninggalkan bangunan berkenaan akan ditembak.
Situasi itu diceritakan seorang wartawan Rangkaian Televisyen Global China (CGTN), Noor Harazeen yang berjaya menghubungi hospital terbabit.
"Rangkaian di sana sangat teruk tetapi kami sempat bercakap dengan beberapa doktor di sana. Doktor mengatakan mana-mana kumpulan orang atau pesakit cuba meninggalkan hospital akan ditembak oleh tentera Israel.
"Sedangkan mayat di depan hospital yang hanya beberapa meter dari bangunan terbabit tidak boleh diambil kerana serangan pihak Israel," katanya.
Ashraf berkata, tiga bayi pramatang telah meninggal dunia setakat semalam kerana terputus bekalan elektrik bagi inkubator.
Sementara Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila pada Ahad lalu berkata, seramai 12 pesakit termasuk dua bayi baru lahir di Hospital Al-shifa telah meninggal dunia akibat terputus bekalan elektrik dan kekurangan bekalan perubatan.
Beliau turut mengumumkan bahawa 23 daripada 35 hospital Gaza telah berhenti beroperasi.
Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin, Ishaq Sidr pula berkata, perkhidmatan internet dan telekomunikasi di Gaza akan berhenti mulai 16 Oktober kerana kehabisan bahan api. -Reuters
ARTIKEL BERKAITAN:
Penembak tepat Israel tembak empat pesakit di Hospital Al-Shifa
Israel bom wad jantung Hospital Al-Shifa hari ini
39 bayi di Hospital Al-Shifa berisiko maut bila-bila masa
Inkubator tidak lagi berfungsi, bayi di Hospital Al-Shifa diambang maut
Tentera Israel memasuki hospital Al Shifa di Gaza