GAZA, 12 November- Seramai 39 orang bayi di Hospital Al-Shifa di sini berisiko meninggal dunia pada bila-bila masa ketika zionis terus melancarkan pengeboman udara dan artileri ke atas kemudahan itu serta sekitarnya.
Pengurus media di Kementerian Kesihatan Palestin, Mohammad Alawawda berkata, seorang bayi telah meninggal dunia akibat kekurangan oksigen di wad hospital terbabit.
Pakar Obstetrik hospital itu, Dr Fadia Malhis berkata, kelahiran pramatang berlaku disebabkan perang dan mereka perlu dirawat dalam inkubator.
“Kedua-dua (iaitu) inkubator dan pemanasan memerlukan elektrik. Jika bayi ini tidak kekal panas, mereka akan mati akibat hipotermia dan selsema.
"Ubat mata dan paru-paru untuk bayi juga sudah tiada. Bayi-bayi ini secara beransur-ansur akan mati di sini jika bantuan segera tidak sampai," ujarnya.
Terdahulu, Menterinya, Mai Al-Kaila berkata, Israel melakukan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
"Ia (Israel) telah mengepung dan mengebom hospital, (serta) mengelilingi hospital dengan kereta kebal.
"Sesungguhnya, terkutuklah masyarakat antarabangsa yang tidak dapat menghentikan mesin pemusnah dan membunuh orang sakit ini (Israel)," katanya dalam sidang akhbar.
Beliau menegaskan sebanyak 20 daripada 35 hospital di Gaza tidak beroperasi kerana pengeboman Israel serta kekurangan bahan api.
Tambah Al-Kaila, Hospital Al-Nasr telah dibom secara langsung mengakibatkan kemusnahan jabatan taska, selain menyasarkan panel tenaga solar yang membawa gangguan bekalan elektrik dan air. -Reuters