fb fb fb fb fb

Penembak tepat Israel tembak empat pesakit di Hospital Al-Shifa

Pekarangan Hospital Al-Shifa/AFP

GAZA, 12 November- Empat orang pesakit di Hospital Al-Shifa di sini menjadi sasaran penembak tepat zionis, malam tadi, menurut pakar bedah hospital itu, Mohammed Obeid.

Dua daripadanya dilapor ditembak di leher dan perut.

Jelas beliau, terdapat kira-kira 600 pesakit yang menjalani pembedahan berada di hospital berkenaan dengan sekitar 40 bayi dan 17 orang dalam rawatan rapi ketika kemudahan awam itu terputus bekalan air, makanan, elektrik dan internet.

"Dua bayi meninggal dunia di unit neonatal Al-Shifa selepas bekalan elektrik ke inkubator mereka terputus dan seorang lelaki meninggal dunia apabila ventilatornya ditutup.

"Kita boleh lihat asap di sekitar hospital. Mereka (Israel) menyerang semua yang ada di sekitar hospital dan mereka menyerang hospital berkali-kali, " katanya dalam mesej audio yang disiarkan di media sosial, semalam.

Sementara itu, Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammad Abu Salmiya berkata, hospital telah terkepung sepenuhnya dan pengeboman berlaku berdekatan premis.

Hospital Al-Shifa adalah kemudahan perubatan terbesar di Gaza yang ketika ini kawasan sekitarnya menjadi tempat perlindungan bagi orang awam. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA