BAITULMAQDIS, 20 November- Israel menyiarkan rakaman video memaparkan terowong didakwa digali oleh pejuang Hamas di bawah hospital terbesar di Semenanjung Gaza, ketika fokus misi untuk mencari dan memusnahkan Hamas dalam perang yang kini memasuki minggu ketujuh.
Walaupun Hamas mengakui mempunyai rangkaian ratusan kilometer terowong rahsia, kubu dan lubang akses di seluruh kawasan Palestin, namun pemimpin pejuang itu menafikan bahawa ia terletak di infrastruktur awam seperti hospital.
Dalam kemas kini mengenai operasi di Hospital Al Shifa di Gaza, tentera Israel berkata, juruteranya menemukan terowong sedalam 10 meter dan sepanjang 55 meter ke pintu kalis letupan.
"Pintu jenis ini digunakan oleh kumpulan pejuang Hamas bagi menghalang tentera Israel daripada memasuki pusat perintah dan aset bawah tanah milik Hamas," kata kenyataan tentera yang disertai dengan video menunjukkan laluan sempit dengan bumbung konkrit melengkung, berakhir di pintu berwarna kelabu.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan apa yang ada di luar pintu.
Terowong berkenaan diakses melalui lubang yang ditemukan di sebuah bangsal dalam kawasan Shifa yang mengandungi peluru, menurut tentera Israel.
Terdahulu, Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Mounir el-Boursh menafikan dakwaan penemuan terowong di bawah Hospital Al-Shifa itu dan menyifatkan ia sebagai 'pembohongan besar' oleh tentera Israel.- REUTERS