fb fb fb fb fb

Rundingan damai: Presiden Ukraine perbaharui tawaran berdamai

(Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky/AFP)

KIEV, 22 Mac - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memperbaharui tawaran untuk rundingan damai secara terus bersama-sama rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin.

Rundingan itu merangkumi pengisytiharan status wilayah yang dipertikaikan selain kemungkinan ke arah referendum.

Menyatakan perkara itu kepada media tempatan, Zelensky berkata bahawa dia bersedia untuk bertemu Putin “dalam apa jua format (cara)” bagi membincangkan usaha menamatkan perang hampir sebulan yang telah memusnahkan beberapa bandar di Ukraine.

Jelas Zelensky kesediaan itu termasuk perbincangan mengenai status wilayah Crimea dan negeri-negeri yang disokong Rusia di Donbas.

“Pada pertemuan pertama dengan presiden Rusia, saya bersedia untuk membangkitkan isu-isu tersebut,” katanya.

“Tidak akan ada rayuan atau ucapan bersejarah. Saya akan membincangkan semua isu dengan presiden Rusia secara terperinci,” tambah Zelensky.

(FOTO REUTERS)

Rusia telah mengisytiharkan Crimea sebahagian wilayahnya dan mengiktiraf kemerdekaan Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Luhansk di timur Ukraine yang Rusia isytiharkan sendiri.

Ketiga-tiga kawasan itu merupakan sebahagian wilayah Ukraine selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, namun terganggu dengan krisis sedekad lamanya dan pada 24 Februari telah mencetuskan pencerobohan dan perang besar-besaran selepas kemasukan tentera Rusia di Ukraine.

“Sekiranya saya mempunyai peluang ini dan Rusia ada keinginan, kami akan meneliti ke semua persoalan," kata Zelensky kepada wartawan Ukraine dalam wawancara yang diterbitkan media Suspilne.

"Adakah kita akan menyelesaikan ke semuanya? Tidak. Tetapi ada peluang, kita boleh selesaikan sebahagiannya -- sekurang-kurangnya menghentikan perang," tambahnya. -AFP

Media Baharu