WASHINGTON, 5 Februari-Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa berkata bahawa rakyat Palestin akan "setuju" meninggalkan Gaza dan berpindah ke tempat lain sekiranya diberikan pilihan.
"Mereka pasti suka meninggalkan Gaza," katanya kepada pemberita semasa menandatangani beberapa inisiatif di White House.
"Saya rasa mereka akan berasa sangat gembira."
"Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh tinggal di sana. Ia adalah tapak kemusnahan," tambahnya, lebih daripada 15 bulan selepas sekutu AS, Israel, melancarkan serangan besar ke atas wilayah itu sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilakukan oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Trump berkata demikian ketika beliau dijadualkan bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi membincangkan gencatan senjata dengan Hamas.
Beliau dijangka menggesa sekutunya untuk berpegang pada perjanjian itu, yang sebahagiannya masih belum dimuktamadkan.
Sebelum ini, Trump telah mencadangkan rancangan untuk "membersihkan" Gaza, dengan menggesa rakyat Palestin berpindah ke Mesir atau Jordan.
Bagaimanapun, kedua-dua negara itu dengan tegas menolak cadangan tersebut.
Pada Selasa lepas, pemimpin kedua-dua negara menegaskan terdapat "keperluan untuk berpegang kepada pendirian agar dunia Arab bersatu bagi mencapai keamanan, menurut kenyataan Presiden Mesir.
"Mereka mungkin berkata begitu, tetapi ramai orang telah mengatakan pelbagai perkara kepada saya," kata Trump kepada wartawan di White House.
Sementara itu, penduduk Gaza turut mengecam idea Trump, dengan penduduk di bandar selatan Rafah memberitahu AFP bahawa mereka tidak akan meninggalkan Gaza.
Namun, Trump kelihatan tidak terpengaruh.
"Jika kita dapat mencari kawasan tanah yang sesuai, atau beberapa kawasan tanah, dan membina tempat yang sangat baik untuk mereka, terdapat banyak wang di rantau itu.
"Saya rasa itu lebih baik daripada kembali ke Gaza, yang telah mengalami kematian selama berdekad", katanya.
Apabila seorang wartawan bertanya di mana tempat-tempat tersebut, Trump mencadangkan ia boleh berada di Jordan, Mesir atau "tempat lain. Mungkin lebih daripada dua."
"Mereka boleh tinggal di tempat yang sangat indah, selamat dan baik. Gaza telah menjadi bencana selama beberapa dekad."
Apabila seorang lagi wartawan bertanya sama ada Amerika Syarikat akan membiayai perpindahan itu, Trump berkata bahawa terdapat banyak pihak yang mampu" di rantau tersebut, dengan menyebut Arab Saudi sebagai contoh.
"Mereka tiada pilihan lain sekarang," tambahnya, ketika seorang wartawan AFP bertanya sama ada perpindahan itu boleh dianggap sebagai pengusiran paksa terhadap rakyat Palestin.
"Mereka berada di sana kerana mereka tiada pilihan lain. Apa yang mereka ada? Ia hanya runtuhan sekarang.
"Saya rasa mereka akan sangat gembira untuk melakukannya", tegasnya.
"Saya rasa mereka suka meninggalkan Gaza, katanya.-AFP.