(FOTO FAIL REUTERS)
SYDNEY, 6 Jun- Sebuah jet pejuang China memintas secara berbahaya pesawat peronda maritim Australia di wilayah Laut China Selatan, bulan lalu.
Jabatan Pertahanan Australia memaklumkan pesawat P-8 milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dipintas oleh jet pejuang J-16 China ketika melakukan ‘aktiviti pengawasan maritim rutin’ di ruang udara antarabangsa di wilayah itu, 26 Mei lalu.
“Pintasan itu mengakibatkan gerakan berbahaya yang mengancam keselamatan pesawat P-8 dan anak kapalnya,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, kerajaan sudah menyatakan kebimbangan berhubung isu itu kepada China melalui saluran yang betul.
Setakat ini, Kedutaan China di Australia belum memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu.
Menteri Pertahanan, Richard Marles berkata, jet pejuang China terbang berdekatan di hadapan pesawat RAAF dan membebaskan bungkusan mengandungi kepingan kecil aluminium yang terserap ke dalam enjin pesawat Australia.
“Sudah tentu kejadian ini amat berbahaya,” katanya kepada stesen televisyen, ABC.
(FOTO AFP)
Sebelum ini, Australia bersama Amerika Syarikat (AS) menolak tuntutan China di sekitar pulau dipertikaikan di Laut China Selatan dengan menegaskan republik itu melanggar undang-undang antarabangsa.Jabatan Pertahanan memaklumkan Australia menjalankan pengawasan maritim di wilayah berkenaan sejak beberapa dekad lalu.
Malah, jelasnya, tentera Australia melakukan aktiviti pengawasan itu mengikut undang-undang antarabangsa, menggunakan hak kebebasan pelayaran serta penerbangan di perairan dan ruang udara antarabangsa.
Hubungan antara Australia dan China tegang baru-baru ini berikutan pengaruh Beijing yang semakin meningkat di Pasifik selepas negara itu memeterai perjanjian keselamatan serantau dengan negara PulauPasifik. -REUTERS