fb fb fb fb fb

Perang Gaza, serangan di Laut Merah beri ancaman kepada ekonomi global

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva/REUTERS

DUBAI, 12 Februari- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memberi amaran bahawa perang Gaza dan serangan di Laut Merah menimbulkan ancaman kepada ekonomi global.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa Kristalina Georgieva berkata konflik antara Hamas dan Israel yang semakin meruncing sejak Oktober lalu, memberi kesan kepada ekonomi di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Beliau berkata konflik yang berlarutan dalam tempoh lebih lama turut memberi kesan kepada dunia.

"Saya bimbang konflik berlarutan lebih lama kerana, jika ia berterusan, risiko akan meningkat," katanya.

"Sekarang ini kita melihat risiko di Terusan Suez, kumpulan Huthi yang telah menyerang perkapalan di Laut Merah yang menjadi laluan maritim yang penting", katanya semasa World Governments Summit di Dubai.

Dalam nota peribadinya, beliau menambah bahawa "sebagai seorang wanita, sebagai ibu, nenek... saya berdoa untuk keamanan".

Huthi menyasarkan serangan terhadap kapal yang berkaitan dengan Israel sebagai solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza. Situasi itu mendorong beberapa buah kapal kargo untuk menggunakan laluan yang lebih jauh, sekali gus meningkatkan kos untuk mengelakkan serangan.

Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan berkata akhir bulan lalu, bahawa jumlah perjalanan komersial yang melalui Terusan Suez telah jatuh lebih daripada 40 peratus dalam tempoh dua bulan.

Konflik Palestin-Israel berlangsung selama lebih empat bulan. Israel bertindak menyerang Palestin sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas awal Oktober tahun lalu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN