fb fb fb fb fb

Perang Gaza merebak ke Beirut susulan pembunuhan timbalan ketua Hamas

Bangunan yang musnah di Semenanjung Gaza, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas/ REUTERS

BEIRUT, 3 Januari- Pembunuhan timbalan pemimpin Hamas, Saleh al-Arouri dalam serangan dron Israel di Beirut semalam bakal meningkatkan potensi risiko perang di Gaza merebak jauh di luar wilayah Palestin, kata sumber keselamatan Lubnan dan Palestin.

Arouri, 57, merupakan pemimpin kanan politik Hamas pertama yang dibunuh sejak Israel melancarkan serangan udara dan darat terhadap penguasa Hamas di Gaza hampir tiga bulan lalu.

Kumpulan Hizbullah Lubnan yang bersenjata lengkap yang merupakan sekutu Hamas, telah berbalas tembakan hampir setiap hari dengan Israel merentasi sempadan selatan Lubnan sejak perang di Gaza bermula pada Oktober.

Israel telah lama menuduh Arouri melakukan serangan maut ke atas rakyatnya, tetapi seorang pegawai Hamas berkata dia juga "di tengah-tengah rundingan" yang dijalankan oleh Qatar dan Mesir berhubung hasil perang Gaza dan pembebasan tebusan Israel yang dikuasai Hamas.

Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan melakukan pembunuhan itu, tetapi jurucakap tenteranya Laksamana Muda Daniel Hagari berkata tentera Israel berada dalam keadaan bersiap sedia untuk sebarang senario.

“Perkara paling penting untuk diperkatakan malam ini ialah kami fokus dan kekal fokus untuk memerangi Hamas,” katanya ketika ditanya wartawan mengenai laporan pembunuhan Arouri.

Di Washington, Jabatan Negara mengecam kenyataan "menghasut dan tidak bertanggungjawab" oleh menteri kabinet Israel, Bezalel Smotrich dan Itamar Ben-Gvir yang menyokong penempatan semula penduduk Palestin di luar Gaza.

Smotrich, salah seorang tokoh kanan dalam gabungan sayap kanan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, pada hari Ahad menyeru penduduk Palestin meninggalkan kawasan yang dikepung, memberi laluan kepada rakyat Israel.

Kenyataan sedemikian menggariskan kebimbangan dalam kalangan sesetengah orang di dunia Arab bahawa Israel mahu menghalau rakyat Palestin keluar dari tanah di mana mereka membayangkan negara masa depan, mengulangi perampasan besar-besaran rakyat Palestin apabila Israel diwujudkan pada 1948.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI