PARIS, 6 November- Tiga pesawat Perancis menghantar 54 tan bantuan untuk Gaza tiba di Mesir hujung minggu ini dan Perancis mempunyai tiga kapal tentera laut di timur Mediterranean yang bersedia untuk bertindak balas terhadap situasi yang semakin meruncing.
Pengumuman itu dibuat ketika Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna menggesa "gencatan senjata kemanusiaan segera", semasa perjalanan ke Doha, dan memberi amaran supaya tidak membenarkan konflik merebak di rantau itu.
Bantuan Perancis itu dibawa oleh dua pesawat Airbus A400M, kata tentera Perancis di X dan Menteri Pertahanan Sebastien Lecornu kemudian berkata pesawat bantuan A400M ketiga telah tiba.
“Kargo kemanusiaan ini, yang ditujukan untuk penduduk awam Semenanjung Gaza, mengandungi ubat-ubatan, bantuan makanan, penjana,” kata kapten salah satu pesawat, Leftenan Kolonel Nicolas, pada pagi Sabtu sebelum berlepas.
"Sebuah kapal pengangkut helikopter Perancis, Tonnerre, yang mempunyai kemudahan sokongan perubatan, dan dua kapal tentera laut berada di Mediterranean. Ia adalah sebahagian daripada "alat yang teguh dan serba boleh yang mampu menyepadukan evolusi keadaan di rantau ini," tambahnya tanpa membuat perincian.
Pada Khamis, Menteri Pertahanan Lecornu mengumumkan bahawa kapal pengangkut helikopter kedua, Dixmude turut akan dihantar.
Israel telah menolak gesaan antarabangsa berulang kali untuk gencatan senjata dalam tempoh empat minggu sejak 7 Oktober, dengan melancarkan serangan balas tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza untuk memusnahkan Hamas.
Tindakan agresif Israel itu meratakan seluruh blok bandar Gaza dan membunuh lebih 9,700 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas. -REUTERS