fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan muda India tekad dapatkan pembaharuan petani

Petani membakar patung Perdana Menteri India Narendra Modi dan menteri lain di tapak protes, untuk mendesak harga tanaman lebih baik seperti yang dijanjikan pada 2021/REUTERS

SHAMBHU, 26 Februari- Petani di negeri Punjab utara India menuntut harga lebih tinggi untuk tanaman mereka daripada kerajaan India dan bergantung kepada pelajar muda untuk memastikan momentum desakan itu diperluas.

Simranjeet Singh Mathada, 18, salah seorang daripada ribuan pelajar universiti yang membantu memasak makanan di dapur komuniti, mengisi tangki dengan air yang boleh diminum dan memuatkan traktor dengan bekalan sebelum menuju ke kawasan protes di Shambu Barrier, sempadan negeri Punjab dan Haryana kira-kira 200 kilometer dari ibu negara India, New Delhi.

"Protes kini adalah untuk menjaga ekonomi petani negara dan petani Punjab bertekad untuk membawa pembaharuan ini dalam apa jua keadaan," kata Mathada.

Tuntutan penunjuk perasaan tertumpu pada harga lantai yang dijamin akan membolehkan berjuta-juta petani lain menjual hasil mereka pada kadar tetap.

Walaupun rundingan antara kesatuan petani dan kerajaan telah dijalankan namun ia boleh bertukar menjadi ganas.

Ramai petani mengalami kecederaan ketika cubamelepasi blok konkrit dan wayar berduri yang dipasang oleh polis untuk menghalang mereka daripada berarak di ibu negara.

Beberapa pegawai polis turut tercedera dalam pertempuran itu.

"Keazaman kami untuk membawa perubahan membantu menghadapi polis setiap hari," kata Mathada.

"Buat masa ini, perkara utama adalah untuk memastikan kerajaan Modi menerima tuntutan kami," katanya.

Protes itu berlaku hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya di mana parti pimpinan Perdana Menteri India Narendra Modi memohon penggal ketiga berturut-turut.

Minggu lalu, Modi berkata kerajaannya komited terhadap kebajikan petani dan sedang dalam misi untuk menjadikan mereka sebagai usahawan dan pengeksport.

Mathada dijangka mengundi buat kali pertama tetapi mempunyai keraguan. "Saya berfikir tentang demokrasi dan berasa agak kecewa; saya mungkin tidak mengundi kali ini."- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI