fb fb fb fb fb

UNICEF dikritik, gagal bentang laporan kanak-kanak Gaza

Foto AFP

MANHATTAN, 24 Januari- Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) Catherine Russell dikritik kerana gagal memberikan alasan kukuh menolak permintaan Rusia untuk membentangkan laporan mengenai kanak-kanak di Gaza kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC).

Kritikan tersebut dibuat Duta Rusia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Vassily Nebenzia, pada Khamis.

"Nampaknya, bagi UNICEF, kanak-kanak di Gaza kurang penting berbanding kanak-kanak di Ukraine.

"Penolakan Pengarah Eksekutif UNICEF untuk melaporkan tragedi mengerikan yang menyebabkan kematian puluhan ribu kanak-kanak di Gaza kepada majlis keselamatan adalah tidak boleh diterima dan wajar dikecam sekeras-kerasnya," katanya.

Jurucakap UNICEF menjelaskan bahawa Russell menghadiri Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos untuk memberi tumpuan kepada tindak balas terhadap krisis kemanusiaan.

Oleh itu, jadual beliau tidak membolehkan laporan tersebut dibentangkan kepada UNSC.

UNICEF turut mencadangkan agar laporan tersebut dibentangkan oleh pengarah jabatan kecemasan dan menyatakan bahawa mereka telah beberapa kali memberi laporan kepada majlis keselamatan sebelum ini.

Nebenzia turut menuduh Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk melindungi Israel.

Beliau juga mendakwa AS mengabaikan seruan Rusia pada Disember lalu untuk mengadakan mesyuarat berkaitan situasi kanak-kanak di Gaza. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM