fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza tunggu di jalanan untuk pulang ke rumah

Foto Reuters

GAZA, 10 Oktober - Penduduk Palestin yang sebelum ini terpaksa meninggalkan rumah mereka berkumpul di tepi jalan di tengah Gaza pada Jumaat (10 Oktober), menunggu akses jalan untuk kembali ke kediaman masing-masing, sebelum perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa.

“Kami akan kembali ke rumah kami, insya-Allah, dan kami akan membina semula rumah kami. Kami akan tinggal di sini walaupun hanya di dalam khemah,” kata Mohammed Ibrahim, 46 tahun.

Tentera Israel berkata pada hari Jumaat bahawa perjanjian gencatan senjata Gaza berkuat kuasa pada tengah hari waktu tempatan.

Tentera Israel mula menarik diri dari beberapa bahagian Gaza pada hari Jumaat selaras perjanjian gencatan senjata dengan Hamas. Kelihatan beberapa penduduk kembali ke kejiranan yang musnah meskipun mereka belum pasti soal keselamatan selepas dua tahun peperangan.

Israel meratifikasi perjanjian gencatan senjata dengan Hamas pada awal pagi Jumaat, membolehkan pengunduran tentera rejim dan menghentikan sepenuhnya permusuhan di Gaza dalam tempoh 24 jam.

Banduan Israel yang ditahan di Gaza akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas itu, sebagai pertukaran untuk banduan Palestin yang ditahan Israel.

Dilaporkan tentera Israel menarik diri dari kawasan sepanjang pantai Mediterranean ke Gaza City, di mana ratusan penduduk berkumpul dan berharap dapat kembali ke pusat bandar utama yang telah diserang dan dikepung oleh rejim Israel sepanjang bulan lalu.

Bagaimanapun, tembakan senjata di kawasan berhampiran menyebabkan ramai penduduk enggan bergerak. Hanya beberapa orang yang berusaha untuk menyeberang dengan berjalan kaki, kata penduduk.

Sementara itu, anggota penyelamat di Bandar Gaza dilihat telah memulakan misi di kawasan yang sebelum ini mereka tidak dapat akses. Para petugas perubatan berkata sekurang-kurangnya 10 mayat telah ditemui dari kawasan serangan sebelumnya.- REUTERS

Trainee