fb fb fb fb fb

Pencemaran udara: Lebih 60,000 pemilik kenderaan dan tapak pembinaan didenda

Gambar dirakam pada 1 November lalu, melihat orang ramai berjalan di Kartavyapath dekat India Gate, New Delhi/Foto REUTERS

NEW DELHI, 4 November - Ribuan pemilik kenderaan dan tapak pembinaan didenda pihak berkuasa kerana melanggar peraturan pencemaran udara di negara itu.

Menurut pihak berkuasa, hukuman denda itu sebagai usaha menangani penurunan kualiti udara yang serius dalam tiga minggu terakhir.

Berdasarkan tinjauan global tahunan oleh pembuat penapis udara Switzerland, IQAir, New Delhi merupakan bandar utama paling tercemar di dunia.

Hampir 60,000 kenderaan dan lebih 7,500 tapak pembinaan telah didenda selepas Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat (CPCB) menilai keadaan kualiti udara hari ini.

CPCB menilai kualiti udara hari ini sebagai 'sangat teruk' dengan skor 373, manakala skor 0 hingga 50 dianggap ‘baik’.

Sebanyak 54,000 kenderaan didapati tidak memiliki sijil Pengawalan Pencemaran (PUC), manakala hampir 3,900 lagi dirampas kerana usia penggunaan melebihi had yang dibenarkan.

Sementara itu, sebanyak 597 tapak pembinaan diperintah untuk membuat bayaran pampasan, manakala 56 tapak lagi diarah tutup.

Kementerian Sains Bumi menyatakan bahawa kualiti udara di rantau itu dijangka kekal pada tahap 'sangat teruk' hingga Rabu, dan berpotensi berada antara 'sangat teruk' hingga 'teruk' untuk enam hari berikutnya.

CPCB berkata, dengan tahap 'teruk' yang direkodkan antara 401 hingga 500 boleh menjejaskan kesihatan, serta memberi kesan serius kepada individu berpenyakit.

IQAir telah menilai New Delhi sebagai ibu kota paling tercemar di dunia selama empat tahun berturut-turut, namun kualiti udara yang buruk merupakan masalah biasa pada musim sejuk di Asia Selatan.

Menurut Institut Dasar Tenaga Universiti Chicago (EPIC), peningkatan pencemaran udara boleh mengurangkan jangka hayat penduduk Asia Selatan lebih lima tahun.

Lahore, bandar kedua terbesar di Pakistan juga dinilai IQAir sebagai bandar kedua paling tercemar dunia.

Bandar itu telah menutup sekolah rendah selama seminggu dan menggesa penduduk kekal untuk berada di dalam rumah akibat pencemaran itu.

Pada Ahad, kerajaan wilayah merancang untuk mengadakan rundingan dengan India bagi menyelesaikan masalah pencemaran udara itu, yang dikatakan berpunca dari negara jiran. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN