fb fb fb fb fb

Pasukan penyelamat pindahkan penduduk di pekan Australia yang dilanda banjir

Banjir yang melanda telah memusnahkan bandar Wujal Wujal di Queensland, menenggelamkan rumah, menghanyutkan jalan dan memaksa beberapa penduduk yang terperangkap untuk berteduh di atas bumbung / Foto AFP

CAIRNS, 19 Disember - Pasukan penyelamat pada Selasa memindahkan penduduk sebuah bandar yang dilanda banjir di timur laut Australia, ke tempat selamat sebelum mereka kehabisan makanan dan air.

Banjir yang melanda telah memusnahkan bandar Wujal Wujal di Queensland, menenggelamkan rumah, menghanyutkan jalan dan memaksa beberapa penduduk yang terperangkap untuk berteduh di atas bumbung.

Banjir besar di penempatan yang sebahagian besarnya penduduk Orang Asli itu berlaku selepas taufan tropika melanda daerah itu.

Penyelaras bencana polis Queensland, Shane Chelepy berkata helikopter penyelamat bersiap sedia untuk memindahkan seluruh bandar yang mempunyai antara 250 dan 300 orang itu.

"Kami tahu bahawa kami hanya mendapat kira-kira sehari sahaja lagi air di bandar itu," katanya kepada penyiar kebangsaan ABC pada Selasa.

"Kami mempunyai impak kepada makanan, kuasa, air secara keseluruhan, dan itulah sebabnya kami melakukan pemindahan itu hari ini."

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata pada Selasa bahawa empat helikopter tentera termasuk dua Chinook angkat berat telah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja pemindahan.

Percubaan menyelamat sebelum ini telah ditangguhkan pada petang Isnin kerana ia "terlalu berbahaya untuk membawa helikopter melaluinya", kata Majlis Shire Orang Asli Wujal Wujal.

Queensland telah dibadai oleh tiupan angin yang membawa bersama hujan berikutan Taufan Tropika Jasper yang melanda Laut Karang, minggu lalu.

Bendahari Queensland, Cameron Dick telah pun meramalkan bahawa banjir akan memberi "impak berbilion dolar" ke atas negeri itu.

Para penyelidik telah berulang kali memberi amaran bahawa perubahan iklim meningkatkan risiko bencana alam seperti kebakaran belukar, banjir dan taufan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN