fb fb fb fb fb

Nuklear: Iran tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat-Khamenei

Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei kelihatan berdiri di hadapan anggota tentera udara Iran di Tehran / Foto AFP

TEHRAN, 7 Februari-Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menggesa kerajaan Iran supaya tidak berunding dengan Amerika Syarikat, beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump, mencadangkan perjanjian nuklear baharu.

“Anda tidak seharusnya berunding dengan kerajaan seperti itu.

"Ia tidak bijak, tidak cerdik, dan tidak bermaruah untuk berunding,” kata Khamenei dalam satu pertemuan dengan para komander tentera.

Beliau menegaskan bahawa Amerika Syarikat sebelum ini telah “melanggar dan merosakkan” perjanjian nuklear 2015.

“Orang yang sama yang berkuasa sekarang telah merobek perjanjian itu,” tambahnya.

Rabu lalu, Trump mencadangkan untuk mencapai "perjanjian damai nuklear yang sah dengan Iran, sambil menegaskan bahawa Tehran tidak boleh memiliki senjata nuklear menerusi satu hantaran di media sosial.

Trump, yang kembali ke White House pada 20 Januari lepas, mengembalikan semula dasar "tekanan maksimum" terhadap Iran pada Selasa atas dakwaan bahawa negara itu sedang berusaha membangunkan senjata nuklear.

Iran menegaskan bahawa program nuklearnya adalah semata-mata untuk tujuan keamanan dan menafikan sebarang niat untuk membangunkan senjata atom.

Susulan pengembalian dasar itu, Washington pada Khamis mengumumkan sekatan kewangan terhadap entiti dan individu yang didakwa menghantar minyak mentah Iran bernilai ratusan juta dolar ke China.

Iran mengecam sekatan tersebut sebagai “tidak sah”, sambil menyatakan bahawa ia “sama sekali tidak berasas dan bertentangan dengan peraturan antarabangsa.

"Kita mesti memahami perkara ini dengan betul: mereka tidak boleh berpura-pura bahawa jika kita duduk di meja rundingan dengan kerajaan itu (pentadbiran AS), masalah akan selesai," kata Khamenei.

“Tiada masalah yang akan diselesaikan menerusi perundingan dengan Amerika,” tambahnya, dengan merujuk kepada “pengalaman” negara itu sebelum ini.

Khamenei turut memberi amaran bahawa Iran akan bertindak balas sekiranya Amerika Syarikat mengancam atau bertindak terhadap Iran.

“Jika mereka mengancam kita, kita akan mengancam mereka.

"Jika mereka mengancam keselamatan negara kita, kita akan menyerang mereka tanpa ragu-ragu,” tegasnya.

Semasa penggal pertama Trump sebagai Presiden, Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear penting yang telah mengenakan sekatan terhadap program nuklear Iran sebagai pertukaran dengan pelepasan sekatan ekonomi.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD