fb fb fb fb fb

Netflix, Amazon, Disney bincang peraturan antitembakau India

(FOTO REUTERS)

NEW DELHI, 2 Jun- Syarikat penstriman gergasi Netflix, Amazon dan Disney hari ini, mengadakan perbincangan mengenai cabaran undang-undang baharu, susulan pelaksanaan peraturan antitembakau di India.

Menurut sumber, syarikat berkenaan bimbang mereka perlu mengedit berjuta-juta jam kandungan di web sedia ada.

Undang-undang baharu itu mengundang 'sakit kepala' kepada syarikat berkenaan kerana sebelum ini, mereka juga pernah menghadapi kes undang-undang dan aduan polis kerana kandungan mereka didapati menyentuh sentimen agama, walaupun selama ini menapis sendiri kandungan.

Minggu ini, Kementerian Kesihatan India mengarahkan platform penstriman hendaklah memaparkan amaran kesihatan statik semasa adegan merokok.

Selain itu, kerajaan India juga menetapkan paparan mesej sekurang-kurangya 50 saat mengenai antitembakau, termasuk audio-visual pada permulaan dan pertengahan setiap program.

Menandakan industri dalam tekanan, eksekutif tiga syarikat penstriman global dan Viacom18 yang mengendalikan aplikasi JioCinema dimiliki jutawan bernama Mukesh Ambani, turut mengadakan perbincangan tertutup.

Menurut dua sumber yang rapat dengan perbincangan itu, mesyuarat tertutup itu diadakan selepas Netflix mendakwa peraturan baharu itu akan mempengaruhi pengalaman pelanggan, selain mendorong syarikat pengeluaran untuk menyekat kandungan mereka.

Antara isu yang dibincangkan eksekutif berkenaan berkisar cara menghadapi cabaran undang-undang sama ada itu di bawah kuasa kementerian lain seperti teknologi maklumat (IT) dan penyiaran, bukan Kementerian Kesihatan.


(Logo JioCinema, Netflix dan Disney /REUTERS)

REUTERS memohon penjelasan daripada syarikat berkenaan, termasuk Kementerian Kesihatan India, namun tiada jawapan balas.

Ketika ini, semua adegan merokok dan meminum alkohol dalam filem di pawagam India termasuk televisyen, perlu memaparkan amaran kesihatan.

Tetapi setakat ini, tiada peraturan untuk syarikat gergasi penstriman yang kandungannya semakin popular.

Aktivis mengalu-alukan peraturan antitembakau baharu di India kerana tembakau punca kedua terbesar di dunia yang membunuh 1.3 juta orang setiap tahun, di India sahaja. - REUTERS

Media Baharu