fb fb fb fb fb

Mahkamah Perlembagaan Thailand lucut jawatan Srettha

Foto AFP

BANGKOK, 14 Ogos- Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Rabu memutuskan Srettha Thavisin dilucutkan daripada jawatan Perdana Menteri selepas didapati bersalah melantik seorang menteri yang mempunyai rekod jenayah pada Mei lepas.

Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa Srettha bersalah melanggar Perlembagaan kerana melantik Pichit Chuenban sebagai menteri, walaupun mengetahui rekod sabitan kesalahan Pichit kerana menghina mahkamah.

Dalam undian majoriti 5-4, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kedudukan Perdana Menteri Srettha Thavisin sememangnya tidak lagi wujud kerana kekurangan integriti, kehilangan kelayakan di bawah Perkara 160 (4) Perlembagaan serta tindakannya melanggar piawaian etika yang serius seperti yang dinyatakan dalam Perkara 160 (5).

Mahkamah mendapati bahawa Srettha, walaupun mengetahui tentang sabitan lepas Chuenban kerana menghina mahkamah, beliau masih mencadangkan pelantikannya sebagai menteri.

"Ini menunjukkan kekurangan integriti, pelanggaran langsung terhadap Perkara 160 (4) Perlembagaan," menurut keputusan mahkamah dalam satu kenyataan.

Akibat pemecatan Perdana Menteri, seluruh kabinet turut dibubarkan mengikut Perkara 167 perenggan satu (1) Perlembagaan. - BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM