fb fb fb fb fb

Mahkamah Dunia perintah Israel pastikan bantuan segera dihulur ke Gaza

Pasukan sukarelawan mengagihkan makanan kepada rakyat Palestin di Gaza/Foto AFP

 THE HAGUE, 30 Mac - Mahkamah tertinggi dunia memerintahkan Israel bagi memastikan bantuan kemanusiaan segera kepada penduduk Gaza yang di ambang kebuluran susulan konflik serangan berterusan memasuki bulan keenam.

Mahkamah Keadilan Antabangsa (ICJ) membuat kemputusan itu ketika pertempuran sengit dan pengeboman terus berlaku di wilayah terkepung itu meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada awal minggu ini telah meluluskan resolusi yang menuntut gencatan senjata dengan segera.

"Israel hendaklah mengambil semua langkah yang perlu dan berkesan untuk memastikan tanpa berlengah-lengah penyediaan tanpa halangan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang diperlukan segera di Gaza," menurut ICJ.

Ini termasuk keperluan makanan, air, elektrik, bahan api, tempat tinggal, pakaian, kebersihan dan sanitasi, serta bekalan perubatan dan penjagaan perubatan kepada rakyat Palestin di seluruh Gaza, kata hakimnya.

"Rakyat Palestin di Gaza tidak lagi hanya berdepan risiko kebuluran, tetapi... kebuluran sudah pun terjadi," menurut mahkamah yang berpangkalan di Hague itu.

PBB memberi amaran bahawa kebuluran semakin menjadi kenyataan di Gaza dan menyatakan sistem kesihatan di wilayah itu semakin lumpuh akibat pertempuran yang sedang berlaku selain akses yang terbatas.

Sejak perang tercetus 7 Oktober lalu, Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 32,623 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Ketika Afrika Selatan mengheret Israel ke mahkamah, rejim itu menafikan tuduhan yang mana tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Pretoria berkata Zionis Israel telah melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid PBB 1948, dan menggesa mahkamah mengarahkan gencatan senjata segera.

Dalam keputusan pada pertengahan Januari yang menjadi tajuk utama di seluruh dunia, ICJ mengarahkan Israel melakukan segala yang boleh untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai ketika serangan Gaza. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN