SEOUL, 21 Mac- Duta Besar Korea Selatan ke Australia Lee Jong-sup berkata beliau bersedia disoal siasat oleh agensi antirasuah berhubung dakwaan memanipulasi siasatan kes kematian seorang anggota marin tahun lepas ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan.
Lee yang baru dilantik mengetuai kedutaan di Canberra, terbang semula ke Seoul pada Khamis untuk menghadiri mesyuarat rasmi.
Beliau telah menafikan sebarang salah laku dan dakwaan dirinya untuk cuba mengelak daripada disiasat.
Beliau memberitahu pemberita bahawa beliau akan cuba menjadualkan pertemuan dengan agensi pencegah rasuah semasa perjalanan itu.
"Saya berharap dapat menyelaraskan jadual dengan Pejabat Siasatan Rasuah supaya ada peluang untuk menghadiri soal siasat," kata Lee di lapangan terbang Incheon.
Beberapa ahli parti politik termasuk Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol sendiri, dan penggubal undang-undang daripada pembangkang, telah mengkritik pelantikan Lee, dengan mengatakan beliau tidak sepatutnya dibenarkan berlepas ke Australia pada 10 Mac kerana masih dalam siasatan.
Bagaimanapun pejabat Yoon berkata pelantikan Lee dan urusannya di Canberra adalah sah sepenuhnya, dan menyatakan bahawa Lee telah berjanji untuk kembali dan bekerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan.
Agensi antirasuah sedang menyiasat Lee berhubung dakwaan dia berada di sebalik percubaan kerajaan untuk mengganggu siasatan ke atas kematian seorang anggota marin yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat semasa banjir tahun lalu.- REUTERS