258 warga asing ditahan dalam serbuan pusat penipuan di Pakistan

Foto AFP

ISLAMABAD, 17 Ogos – Sebanyak 258 warga asing, termasuk 40 rakyat China, ditahan pihak berkuasa Pakistan dalam serbuan terhadap sebuah pusat panggilan yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan di ibu negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat panggilan dipercayai beroperasi di Gulberg Green, pinggir Islamabad, menurut pegawai Agensi Siasatan Persekutuan.
  • Mereka datang ke Pakistan menggunakan visa pelancong dan tidak dibenarkan menjalankan kegiatan berkenaan.
  • Daripada yang ditahan, 170 merupakan warga Vietnam; baki terdiri daripada China, Malaysia dan beberapa negara Asia lain.
  • Kesemua ditahan di penjara Rawalpindi; kedutaan dimaklumkan; siasatan sedang dijalankan dan penghantaran pulang mungkin akan dilakukan.

Seorang pegawai Agensi Siasatan Persekutuan (FIA) Pakistan berkata pusat panggilan berkenaan dipercayai beroperasi di Gulberg Green, sebuah kawasan perumahan di pinggir Islamabad.

“Mereka datang ke Pakistan menggunakan visa pelancong dan tidak dibenarkan menjalankan kegiatan berkenaan,” katanya kepada AFP.

Daripada jumlah yang ditahan, 170 merupakan warga Vietnam, manakala selebihnya terdiri daripada rakyat China, Malaysia dan beberapa negara Asia lain.

Kesemua mereka kini ditahan di sebuah penjara di Rawalpindi, sementara pihak berkuasa meneruskan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

Pegawai itu berkata kedutaan negara masing-masing telah dimaklumkan mengenai penahanan tersebut, manakala butiran lanjut mengenai dakwaan terhadap mereka akan didedahkan dalam beberapa hari akan datang.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan mereka yang didapati terlibat akan dihantar pulang ke negara asal.

Media tempatan melaporkan kesemua warga asing terbabit ditahan dalam serbuan yang dijalankan minggu lalu.

Serbuan seumpama itu turut dilakukan pada Julai 2025, yang menyaksikan 149 individu, termasuk 71 warga asing yang kebanyakannya rakyat China, ditahan kerana disyaki bekerja di sebuah pusat panggilan besar yang dikaitkan dengan skim Ponzi dan penipuan pelaburan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.