fb fb fb fb fb

Konflik di Gaza berisiko merebak, ancam keselamatan di Asia Barat- Setiausaha Negara AS

Setiausaha Negara AS Antony Blinken dalam sidang media di Doha/AFP

DOHA, 8 Januari- Konflik di Gaza berisiko merebak dan mengancam keselamatan secara meluas di Asia Barat.

Amaran itu disuarakan Setiausaha Negara AS Antony Blinken dalam sidang media bersama Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al Thani di Doha.

Beliau kini dalam lawatan serantau yang bertujuan meredakan konflik.

Katanya, ketika ini, rantau itu berdepan ketegangan amat mendalam.

Beliau memberi amaran, Israel wajib meletakkan kepentingan melindungi orang awam di tahap tertinggi dan memastikan operasi yang dirancang tidak mengancam nyawa golongan itu.

Selain itu, Israel perlu membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing dan pemindahan besar-besaran di Gaza, Blinken berkata rakyat Palestin juga harus dibenarkan kembali selepas keadaan selamat.

"Mereka tidak boleh didesak untuk meninggalkan Gaza" tambahnya, selepas dua menteri Israel mencadangkan rakyat Palestin harus digalakkan untuk berhijrah.

Beliau turut menyifatkan kematian dua wartawan Al Jazeera di Gaza sebagai "tragedi yang tidak dapat dibayangkan" serta telah menyalahkan Israel.

Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas, sekurang-kurangnya 22,835 orang terkorban di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dalam serangan berterusan Israel di Palestin.-AFP

ROSLINA BINTI DIN