VLADIVOSTOK, 4 September - Hubungan antara Malaysia dan Rusia ketika ini belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Kuala Lumpur dan Moscow dilihat memiliki potensi lebih besar, terutama di sektor perdagangan dan ekonomi.
Sehubungan itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov mahu usaha lebih lanjut dilaksanakan agar perkara tersebut dapat direalisasi.
"Rundingan bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berlangsung hari ini.
"Malaysia adalah rakan perdagangan dan ekonomi yang cukup penting bagi kami.
"Potensi hubungan dua hala sukar untuk dinilai terlalu tinggi, dan jelas ia masih jauh daripada dimanfaatkan sepenuhnya dan masih banyak yang perlu dilakukan," katanya.
Peskov turut memaklumkan, Rusia menyedari minat Malaysia untuk menyertai BRICS dan menyokong hasrat berkenaan.
“Kami sedar minat rakan Malaysia kami untuk menyertai organisasi ini.
"Seperti banyak negara lain yang menyokong hasrat ini, kami akan membincangkan perkara tersebut dengan rakan BRICS," jelasnya.
Keanggotaan BRICS ketika ini terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu. -BERNAMA/SPUTNIK