GAZA, 25 Januari - Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam serangan kereta kebal di salah sebuah tempat perlindungan pelarian Palestin di Khan Younis.
Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza Thomas White berkata, dua kereta kebal Israel mengepung dan menembak bangunan yang menempatkan 800 orang pelarian.
Manakala 75 orang lagi cedera dalam serangan terbaharu itu, katanya menerusi Twitter.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, mengutuk serangan itu dan tidak menolak kemungkinan angka kematian akan meningkat.
"Sekali lagi (Israel) secara terang-terangan mengabaikan peraturan asas peperangan," kata Lazzarini menerusi X.
Katanya, koordinat lokasi tempat perlindungan juga telah dikongsikan dengan pihak berkuasa Israel, bagaimanapun Israel tetap menyerang dan tidak menyatakan untuk bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Apabila ditanya mengenai kejadian itu, tentera Israel menafikan bahawa mereka sengaja menyerang pusat pelarian PBB.
Sebaliknya, zionis Israel mempertahankan bahawa kejadian tersebut adalah akibat serangan udara atau artileri oleh IDF.
"Kajian menyeluruh mengenai operasi pasukan di kawasan sekitar sedang dijalankan," kata zionis Israel.
Israel menuduh dan menunding jari kemungkinan serangan itu akibat tembakan dari pejuang Hamas.
Timbalan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Vedant Patel pula berkata, serangan itu sangat membimbangkan.
"Kami kesal dengan serangan ke atas pusat latihan UNRWA. Orang awam mesti dilindungi dan sifat melindungi kemudahan PBB mesti dihormati," katanya.
Israel meneruskan serangan sengit ke atas Khan Younis antara lain menyasarkan kemudahan perubatan, dengan setakat ini 660 serangan ke atas institusi kesihatan direkodkan di Gaza.
Kementerian kesihatan Gaza menuduh tentera Israel melumpuhkan kompleks perubatan Nasser, membahayakan nyawa kakitangan dan orang yang dipindahkan.
“Kakitangan perubatan tidak dapat mengendalikan kes serius dari kompleks perubatan Nasser ke hospital medan Jordan berdekatan, akibat pengeboman tanpa henti,” kata kenyataan kementerian itu.
Agensi kemanusiaan PBB menggambarkan penderitaan yang tidak dapat digambarkan di Gaza di mana angka kematian terus meningkat.
“Di Khan Younis, pertempuran semakin memuncak, memusnahkan kawasan awam dan meragut nyawa. Serangan terhadap penjagaan kesihatan terus meningkat,” tulis OCHA di X.
Menurut jumlah terkini daripada kementerian kesihatan Gaza sekurang-kurangnya 25, 700 orang terbunuh dalam konflik permusuhan di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - AFP