fb fb fb fb fb

Kemboja tarik diri daripada perjanjian pembangunan sempadan dengan Laos, Vietnam

Foto fail

MOSCOW, 21 September - Kemboja telah menarik diri daripada perjanjian dengan negara jiran Vietnam dan Laos yang berfungsi untuk memajukan pembangunan di kawasan sempadan ketiga-tiga negara itu dalam tempoh 25 tahun lepas, kata Menteri Luar Kemboja Chenda Sophea dalam surat yang diterbitkan pada Sabtu, lapor Sputnik.

"Selepas pertimbangan dan penilaian yang teliti terhadap kemajuan kami, kami menyimpulkan bahawa mandat kerjasama ini telah mencapai objektifnya. Pada ketika ini, kami percaya bahawa setiap negara mampu meneruskan dan memastikan pembangunan negara masing-masing secara bebas," kata Sophea dalam surat rasmi yang dialamatkan kepada rakan sejawatnya dari Vietnam dan Laos.

Kemboja memutuskan untuk menamatkan penyertaannya dalam Kawasan Segi Tiga Pembangunan Kemboja-Laos-Vietnam (CLV-DTA) di bawah Artikel 18 Memorandum Persefahaman antara ketiga-tiga negara, menurut surat itu.

"Kami telah mencapai kejayaan penting yang telah memperkukuh matlamat bersama kami dan memajukan pembangunan serantau," menurut kandungan surat itu.

Pengunduran Kemboja dari CLV-DTA diumumkan dalam kenyataan bersama oleh bekas Perdana Menteri dan Presiden Senat Hun Sen, Perdana Menteri Hun Manet dan pemimpin lain daripada parti pemerintah.

Hun Sen berkata mereka mahu menghentikan pihak ekstremis daripada menyebarkan khabar angin mengenai kerajaan yang didakwa menyerahkan wilayah Kemboja kepada negara asing. - BERNAMA 

TETITIA YUSOFF