BAITULMAQDIS, 2 September- Israel dilanda ketegangan apabila dianggarkan 500,000 penunjuk perasaan mengadakan protes besar-besaran, semalam selepas penemuan enam mayat tebusan di Gaza.
Protes itu untuk menzahirkan kekecewaan dan kemarahan rakyat yang semakin tidak dapat dibendung terhadap kepimpinan Israel kerana gagal mencapai perjanjian gencatan senjata bagi memastikan pembebasan tebusan warga mereka.
Media Israel melaporkan hampir setengah juta penunjuk perasaan mengadakan bantahan keras di Baitulmaqdis, Tel Aviv dan bandar lain dengan menggesa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, meningkatkan usaha membawa pulang baki 101 tebusan.
Israel menganggarkan kira-kira satu pertiga daripada mereka telah maut.
Pemimpin-pemimpin buruh turut menggesa golongan pekerja untuk mengadakan mogok umum sehari, hari ini.
Terdahulu pada Ahad, tentera Israel mengumumkan penemuan enam mayat tebusan dalam sebuah terowong di bandar Rafah ketika kempen vaksinasi polio bermula di Gaza dan keganasan terus meningkat di Tebing Barat yang diduduki susulan serangan berskala besar oleh pasukan rejim Zionis.
Jurucakap tentera, Rear Admiral Daniel Hagari, dilaporkan berkata mayat tebusan dikenal pasti sebagai Carmel Gat, Hersh Goldberg-Polin, Eden Yerushalmi, Alexander Lobanov, Almog Sarusi dan Ori Danino, telah dibawa pulang ke Israel.
Demonstrasi di Baitulmaqdis menyaksikan penunjuk perasaan melakukan sekatan di jalan raya dan mengadakan bantahan di luar kediaman Netanyahu.
Rakaman dari udara menunjukkan lebuh raya utama di Tel Aviv dibanjiri penunjuk perasaan yang membawa bendera dan gambar tebusan.
Menurut polis, setakat ini puluhan rakyat telah ditahan di seluruh Israel.
Netanyahu kini berdepan tekanan desakan semakin kuat supaya menamatkan peperangan yang berlarutan hampir 11 bulan itu, dengan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan baki tebusan.
Bagaimanapun, Netanyahu berkata, Israel tidak akan berhenti sehinggalah dapat menangkap mereka yang bertanggungjawab atas kematian tebusan terbabit.
Pegawai kanan kumpulan pejuang Hamas pula menegaskan Israel yang harus dipersalahkan atas kematian itu berikutan enggan menandatangani perjanjian gencatan senjata.
"Netanyahu bertanggungjawab atas pembunuhan tahanan warga Israel. Rakyat Israel harus memilih antara Netanyahu dengan perjanjian itu," kata pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, kepada Reuters.
Dalam pada itu, Forum Keluarga Tebusan turut mendesak Netanyahu untuk bertanggungjawab dan menjelaskan sebab pihaknya enggan menandatangani perjanjian.
Menurutnya, kesemua enam tebusan itu baru saja dibunuh, di mana penangguhan menandatangani perjanjian terbabit membawa kepada kematian mereka dan tebusan lain.
Presiden AS, Joe Biden berkata beliau sangat kecewa dan marah dengan kematian Goldberg-Polin warga Israel-Amerika berusia 23 tahun dan tebusan lain.
"Pemimpin Hamas akan membayar untuk jenayah ini. Dan kami akan terus bekerja sepanjang masa untuk mendapatkan perjanjian bagi memastikan pembebasan tebusan yang tinggal, katanya dalam satu kenyataan.- REUTERS