TEL AVIV, 29 Januari- Israel hari ini menafikan dakwaan pegawai Hamas bahawa mereka sengaja melambatkan penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza bawah perjanjian gencatan senjata.
"Ia berita palsu sepenuhnya," kata jurucakap COGAT, agensi Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal awam di wilayah Palestin.
Beliau menjelaskan bahawa 3,000 trak bantuan telah memasuki Gaza sejak Ahad sehingga pukul 1.00 tengah hari hari ini.
"Perjanjian menetapkan sebanyak 4,200 trak bantuan perlu dihantar dalam tempoh tujuh hari."
Sebelum ini, pegawai Hamas mendakwa Israel gagal menghantar beberapa barangan penting yang dipersetujui dalam fasa pertama gencatan senjata bermula 19 Januari, termasuk bahan api, khemah, jentera berat dan peralatan lain.
Ketika ini, Israel dan Hamas sedang melaksanakan fasa pertama gencatan senjata selama 42 hari sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan konflik di Gaza.-AFP