SANAA, 19 Mac- Kumpulan Huthi di Yaman melancarkan serangan keempat dalam tempoh 72 jam terhadap armada tentera Amerika Syarikat (AS) di Laut Merah sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif Washington di rantau itu, jelas jurucakap tenteranya Yahya Saree.
Yahya menyatakan serangan tersebut menyasarkan kapal induk 'USS Harry S. Truman' serta beberapa kapal perang lain di lautan berkenaan.
"Angkatan bersenjata Yaman mengesan pergerakan ketenteraan musuh di Laut Merah yang bertujuan melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Yaman.
"Sebagai tindak balas, pasukan peluru berpandu, angkatan laut dan unit dron telah melancarkan operasi ketenteraan bersama menggunakan peluru berpandu jelajah dan dron, menyasarkan kapal induk USS Harry S. Truman serta beberapa kapal perang lain. Operasi ini berjaya mencapai matlamatnya, menjadikan ia serangan keempat terhadap kapal induk AS dalam tempoh 72 jam," kata Yahya.
Beliau berkata serangan dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha menentang pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya di rantau itu.
Huthi telah melancarkan operasi di laluan perdagangan tersebut sejak bermulanya perang di Gaza pada 7 Oktober 2023 sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
"(Kami) menegaskan kezaliman Amerika tidak akan menghalang Yaman daripada menunaikan tanggungjawab agama, moral dan kemanusiaannya terhadap rakyat Palestin. Kami akan terus meningkatkan operasi ketenteraan terhadap musuh Zionis selagi pencerobohan ganas ke atas Gaza tidak dihentikan dan sekatan tidak ditamatkan," tambah Yahya.
Pada Selasa, kumpulan itu turut mengaku bertanggungjawab atas peluru berpandu yang dilancar ke arah Israel dan berikrar meningkatkan serangan selepas rejim Zionis menyambung kembali serangan besar-besaran di Gaza.
Peluru berpandu balistik hipersonik jenis 'Palestine 2' yang menyasarkan sebuah pangkalan udara itu merupakan serangan pertama ke atas Israel dari Yaman sejak gencatan senjata antara Israel-Hamas pada 19 Januari lepas.
Dalam satu kenyataan, Majlis Politik Tertinggi Huthi menyatakan kecaman terhadap "penyambungan semula pencerobohan musuh Zionis ke atas Gaza".
Serangan udara Israel di Gaza awal pagi Selasa disifatkan paling dahsyat sejak gencatan senjata dikuatkuasakan yang mengorbankan lebih 400 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. -AFP
BERITA BERKAITAN
- Netanyahu terus dikecam pertaruh nyawa tebusan
- Huthi serang Israel susulan pencabulan gencatan senjata di Gaza
- Singapura seru rundingan ke arah gencatan senjata berkekalan di Gaza
- Solidariti Palestin: JAKIM arah solat hajat berterusan
- Hamas sahkan Ketua Pentadbiran Essam al-Dalis terbunuh
- Israel cabul gencatan senjata, kecaman global memuncak