fb fb fb fb fb

Hamas sahkan Ketua Pentadbiran Essam al-Dalis terbunuh

Essam al-Dalis/Reuters

GAZA CITY, 19 Mac- Ketua Pentadbiran Hamas di Gaza, Essam al-Dalis bersama ahli keluarga dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel, menurut kenyataan kumpulan pejuang itu pada Selasa.

Hamas turut memaklumkan serangan berkenaan mengorbankan beberapa pegawai lain termasuk Ketua Kementerian Dalam Negeri, Mahmud Abu Watfa serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Dalaman, Bahjat Abu Sultan.

"Para pemimpin ini bersama keluarga mereka telah syahid selepas disasarkan secara langsung oleh pesawat tentera penjajah Zionis," menurut kenyataan.

Essam, yang merupakan anggota biro politik Hamas di Gaza dipilih menganggotai kepimpinan pergerakan itu pada Mac 2021 sebelum dilantik mengetuai pentadbirannya pada Jun tahun sama.

Pada November 2023, Israel mendakwa telah mengebom sebuah struktur Hamas yang dipercayai menempatkan Essam bersama beberapa pemimpin lain yang turut terbunuh.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan masih hidup selepas serangan itu dan hanya disahkan terbunuh dalam serangan terkini. -AFP

SITI AISHAH MD ISA