fb fb fb fb fb

Iklan perjudian dalam talian merebak di media sosial Indonesia

Foto AFP

JAKARTA, 16 November - Promosi perjudian dalam talian di Indonesia terus berlaku secara licik melalui platform Meta, walaupun terdapat sekatan ketat daripada syarikat berkenaan dan tindakan keras kerajaan terhadap amalan haram itu.

Siasatan mendapati berpuluh-puluh iklan berbayar perjudian disamarkan sebagai kandungan biasa bagi mengelak larangan Meta di Indonesia.

Kandungan ini muncul di Facebook, Instagram dan Threads, yang seolah-olah mempromosikan permainan video atau rawatan kesihatan, tetapi membawa pengguna ke laman pertaruhan.

“Iklan ini benar-benar membimbangkan. Sasaran mereka nampaknya ialah pemain permainan, termasuk kanak-kanak yang turut terdedah kepada iklan ini.” menurut Zee, seorang pemain permainan video berusia 32 tahun.

Kerajaan Indonesia memadam lebih 5.7 juta kandungan berkaitan perjudian dalam talian sejak lapan tahun lalu. Polis juga menahan sekurang-kurangnya 85 pengaruh media sosial tahun lepas kerana mempromosikan pertaruhan.

Undang-undang menetapkan hukuman berat, termasuk penjara sehingga 10 tahun untuk promosi perjudian dan empat tahun untuk aktiviti perjudian itu sendiri.

Kementerian Komunikasi dan Digital sentiasa meminta platform media sosial memadam kandungan perjudian dan mengeluarkan surat amaran jika tidak dipatuhi.

"Jika pelanggaran berulang dikesan dan tidak ditangani, tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peraturan sedia ada, termasuk kemungkinan menghentikan akses platform tersebut." kata Alexander Sabar, Pengarah Jeneral Pengawasan Ruang Digital.

Nilai transaksi perjudian dalam talian di Indonesia mencapai 927 trilion rupiah (AS$55.7 bilion) antara 2017 hingga suku pertama 2025, menurut Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan Indonesia.

Lapan puluh peratus pengguna perjudian dalam talian terdiri daripada pelajar dan individu berpendapatan rendah.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH