WASHINGTON, 19 Mac – Dua angkasawan NASA, Butch Wilmore dan Suni Williams selamat kembali ke Bumi dalam kapsul SpaceX pada Selasa, selepas sembilan bulan terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) susulan masalah teknikal kapal Starliner keluaran Boeing.
Wilmore dan Williams pada asalnya dijadualkan pulang selepas lapan hari, namun isu pada sistem pendorong Starliner menyebabkan kelewatan berpanjangan.
NASA akhirnya memutuskan untuk membawa mereka pulang dengan Crew Dragon sebagai sebahagian daripada jadual penggiliran kru.
Mereka berdua bersama dua angkasawan lain meninggalkan ISS pada pukul 1.05 pagi ET (0505 GMT) sebelum memasuki atmosfera Bumi sekitar 5.45 petang.
Pendaratan berlaku di perairan luar pantai Florida kira-kira 10 minit kemudian.
Kepulangan mereka menarik perhatian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mendakwa tanpa bukti bahawa bekas Presiden Joe Biden “meninggalkan” mereka di ISS atas sebab politik.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, turut menyokong seruan kepulangan lebih awal.
Wilmore dan Williams telah mencatatkan 286 hari di angkasa—lebih lama daripada tempoh purata misi ISS, namun masih jauh daripada rekod 371 hari yang dipegang oleh Frank Rubio.
Williams kini mencatatkan jumlah keseluruhan 608 hari di angkasa, kedua tertinggi bagi angkasawan AS selepas Peggy Whitson.
Sepanjang tempoh di ISS, mereka menjalankan penyelidikan saintifik dan penyelenggaraan rutin, termasuk dua aktiviti berjalan di angkasa oleh Williams.
Wilmore dan Williams akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Angkasa Johnson di Houston sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.-REUTERS