SEOUL, 19 Mac- Korea Selatan pada Selasa melaporkan lebih banyak kes penyakit kaki dan mulut (FMD) di ladang ternakan tempatan menjadikan jumlah kes tahun ini meningkat kepada 10, menurut pegawai.
Menurut Agensi Berita Yonhap, kes terbaharu dikesan di ladang ternakan di daerah Yeongam kira-kira 300 kilometer ke selatan Seoul.
Ladang-ladang itu terletak berhampiran ladang ternakan yang mencatatkan kes FMD pertama tahun ini minggu lalu yang merupakan kejadian pertama dalam tempoh hampir dua tahun.
Berikutan wabak pertama itu, kerajaan telah menaikkan tahap krisis bagi Yeongam dan beberapa kawasan bersebelahan kepada "serius" iaitu tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat serta memulakan program vaksinasi FMD di seluruh negara, yang pada asalnya dijadualkan bulan depan.
FMD adalah penyakit virus berjangkit akut yang menjejaskan lembu, babi, kambing dan haiwan berkuku belah yang lain. Ia tidak menjejaskan manusia. -BERNAMA-YONHAP