SANAA, 18 Mac- Kumpulan Huthi di Yaman melancarkan peluru berpandu ke arah Israel pada Selasa sebagai tindak balas terhadap serangan udara berterusan rejim Zionis di Gaza yang meragut ratusan nyawa rakyat Palestin.
Jurucakap tenteranya Yahya Saree dalam kenyataan dimuat naik di platform X mengesahkan peluru berpandu dikenali sebagai 'Palestine 2' digunakan dalam operasi yang menyasarkan Pangkalan Udara Nevatim.
"Angkatan bersenjata Yaman melaksanakan operasi menyasarkan Pangkalan Udara Nevatim menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik jenis Palestine 2. Operasi ini berjaya mencapai matlamatnya," kata Yahya.
Tindakan Huthi itu dibuat selepas Israel secara unilateral menamatkan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari lalu dengan melancarkan serangan udara ke atas lima kawasan perbandaran di Gaza pada awal pagi Selasa.
Serangan berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 404 rakyat Palestin termasuk lebih 100 kanak-kanak, selain mencederakan lebih 564 orang.
Pasukan kecemasan juga dilapor masih bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Yahya turut menegaskan serangan Huthi ke atas sasaran di Palestin yang diduduki Zionis akan diperluaskan sekiranya serangan Israel terhadap Gaza tidak dihentikan. -AFP
BERITA BERKAITAN