fb fb fb fb fb

Cubaan mencuri, wanita di India telan cincin emas

FOTO REUTERS

BIHAR, 19 Mac- Seorang wanita ditahan selepas cuba mencuri cincin emas dengan menelannya dalam satu kejadian aneh di sebuah kedai barang kemas di Pasar Silay, Nalanda, di sini, India Utara, pada Khamis lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua wanita memasuki kedai berkenaan sebagai pelanggan sebelum meminta untuk melihat koleksi cincin emas.

Ketika pemilik kedai beredar seketika, salah seorang wanita itu dengan pantas menelan beberapa cincin dalam cubaan mencurinya.

Setelah berpura-pura hilang minat, kedua-dua mereka bersiap sedia untuk meninggalkan premis.

Bagaimanapun, pemilik kedai yang mengira semula barang jualan menyedari kehilangan beberapa cincin sebelum menyemak rakaman CCTV dan mendapati insiden itu berlaku.

Suspek segera ditahan sebelum pihak polis dihubungi.

Ketua Balai Polis Silay, Mohammad Irfan Khan mengesahkan kedua-dua wanita terbabit telah ditahan dan sedang disiasat atas cubaan mencuri.

Pihak berkuasa turut mempertimbangkan pemeriksaan perubatan bagi mendapatkan kembali cincin yang ditelan sebagai bukti siasatan. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA