fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel di Gaza, ragut lebih 400 nyawa

Foto AFP

GAZA CITY, 19 Mac- Agensi pertahanan awam Gaza pada Rabu memaklumkan bahawa 13 orang lagi terkorban akibat serangan udara Israel ke atas wilayah Palestin, sejak tengah malam.

"Israel telah melancarkan beberapa serangan udara yang mengakibatkan kematian 13 orang serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk wanita dan kanak-kanak, di Khan Younis dan Gaza City," kata jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, kepada AFP.

Israel pada Selasa melancarkan serangan paling teruk ke atas Gaza sejak gencatan senjata antara negara itu dan pejuang Hamas berakhir pada 19 Januari lalu, setelah lebih 15 bulan berperang.

Menurut kementerian kesihatan wilayah itu, serangan tersebut berlaku susulan kegagalan rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata, telah meragut lebih 400 nyawa.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi amaran pada lewat Selasa bahawa serangan berkenaan "hanyalah permulaan" dan rundingan seterusnya dengan Hamas "hanya akan berlaku di bawah serangan".

"Hamas telah merasai kekuatan tangan kami dalam tempoh 24 jam lalu. Saya ingin memberi jaminan kepada anda dan kepada mereka, ini hanyalah permulaan," katanya dalam satu kenyataan video.

Pejabat Netanyahu turut memaklumkan kerajaannya sebulat suara meluluskan cadangannya untuk melantik semula ahli politik sayap kanan, Itamar Ben Gvir sebagai menteri keselamatan negara.

Setakat ini, Hamas belum bertindak balas secara ketenteraan.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan pihaknya menggesa negara-negara Arab dan Islam agar "menekan" Amerika Syarikat untuk menghentikan serangan yang dilancarkan sekutunya, Israel.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM