fb fb fb fb fb

Jerman tuduh Putin bermuslihat, lancar serangan baharu di Ukraine

Presiden Rusia, Vladimir Putin (kiri), Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy/AFP

BERLIN, 19 Mac- Jerman menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin, "bermain muslihat" selepas Kiev melaporkan serangan baharu ke atas infrastruktur awam Ukraine.

Ia berlaku hanya beberapa jam selepas Moscow bersetuju untuk menghentikan sementara serangan ke atas kemudahan tenaga.

"Kami melihat bahawa serangan ke atas infrastruktur awam tidak berkurangan langsung pada malam pertama selepas panggilan telefon yang kononnya bersejarah dan hebat ini, antara Putin dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Putin sedang bermain muslihat. Presiden Amerika mempunyai tanggungjawab terhadap salah satu kuasa besar dunia. Saya sangat yakin akan tiba masanya dia perlu bertindak," kata Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, dalam satu temu bual televisyen.

Dalam perbualan selama 90 minit dengan Trump pada Selasa, Putin bersetuju untuk mengurangkan serangan ke atas infrastruktur tenaga selama 30 hari tetapi enggan menerima gencatan senjata penuh dalam peperangan tiga tahun dengan Ukraine.

Susulan serangan baharu itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menuduh Moscow secara efektif menolak cadangan gencatan senjata yang disokong AS, yang sebelum ini telah dipersetujui oleh Kiev.

Pistorius berkata komitmen Putin untuk menghentikan serangan ke atas sasaran tenaga adalah tidak membawa makna kerana infrastruktur sedemikian di Ukraine sudah pun "paling dilindungi".

Beliau turut menyifatkan sebagai "tidak boleh diterima" tuntutan Kremlin bahawa syarat utama perdamaian adalah penghentian sepenuhnya sokongan ketenteraan dan perisikan Barat kepada angkatan tentera Ukraine yang sedang bertahan.

Tambah Pistorius, ia bertujuan untuk menghalang penyokong Kiev daripada terus membantu Ukraine dan membolehkannya benar-benar mempertahankan diri jika berlaku serangan lain, sama ada semasa atau selepas gencatan senjata."- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM