ROM, 19 Mac- Enam orang maut dan 40 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot migran karam di Laut Mediterranean, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu,
Berdasarkan laporan media Itali, kejadian berlaku di perairan pulau Lampedusa.
"Masih terlalu ramai yang terkorban dalam satu lagi tragedi kapal karam di Mediterranean," kata wakil Agensi Pelarian PBB (UNHCR) di Itali, Chiara Cardoletti, di platform X.
Beliau memaklumkan bahawa bot getah itu bertolak dari Tunisia pada Isnin dengan membawa 56 orang.
"Selepas beberapa jam belayar, bot itu mula bocor dan dimasuki air. Enam mayat telah ditemui manakala 40 lagi masih hilang," katanya.
Pasukan pengawal pantai dan polis kewangan Itali berjaya menyelamatkan 10 orang membabitkan enam lelaki dan empat wanita berhampiran pulau kecil berbatu Lampione.
Mereka yang terselamat memberitahu bahawa bot itu membawa 56 penumpang ketika berlepas, namun hanya enam mayat terdiri daripada kesemuanya adalah lelaki, ditemui di lokasi kejadian.
Menurut agensi berita AGI, sebahagian mangsa yang hilang dipercayai terjatuh ke laut akibat keadaan laut bergelora.
Menurut laporan media, migran yang terlibat dalam insiden itu berasal dari Ivory Coast, Mali, Gambia dan Cameroon.
Sejak awal tahun ini, seramai 8,743 migran telah tiba di Itali, sedikit lebih tinggi berbanding jumlah dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut kementerian dalam negeri Itali.- AFP