BEIRUT, 9 November - Tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Sabtu, ketika ketegangan semakin meningkat antara Israel-Hezbollah.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, dua beradik dari bandar Shebaa maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbakar selepas diserang di lereng Gunung Hermon.
Sementara itu, seorang lagi turut terbunuh dan empat cedera dalam serangan kedua di kampung Baraashit, manakala tujuh orang cedera dalam serangan pagi di bandar Bint Jbeil, berhampiran sebuah hospital.
Tentera rejim zionis mendakwa serangan di Baraashit itu menyasarkan pejuang Hezbollah yang terlibat dalam usaha membina semula infrastruktur ketenteraan kumpulan itu.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan berterusan Israel walaupun terdapat gencatan senjata hampir setahun.
Jurucakap hal ehwal luar EU, Anouar El Anouni, menegaskan, semua pihak perlu menumpukan usaha untuk mengekalkan gencatan senjata dan kemajuan yang telah dicapai.
Terdahulu, Israel turut mengumumkan beberapa serangan awal di selatan Lubnan dan menggesa penduduk awam berpindah dari kawasan yang disasarkan.- AFP