fb fb fb fb fb

Ketua tentera Sudan lawat kem pelarian dari El-Fasher

Foto AFP

AL DABBAH, 9 November - Ketua tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, melawat ke kem pelarian di bandar Al Dabbah, utara Sudan, menempatkan ribuan penduduk yang melarikan diri dari El-Fasher berikutan pertempuran hebat antara tentera Sudan dan Pasukan Separa Tentera Sudan, Rapid Support Forces (RSF).

Lawatan itu dilakukan ketika situasi kemanusiaan di negara itu semakin meruncing selepas kejatuhan El-Fasher dua minggu lalu, yang memberikan RSF kawalan sepenuhnya ke atas lima ibu negeri di wilayah barat Sudan serta beberapa kawasan di selatan.

Menurut laporan, lebih 80,000 penduduk terpaksa meninggalkan El-Fasher dan kawasan sekitarnya akibat pertempuran sengit, serangan udara, serta kekejaman terhadap orang awam.

Banyak keluarga dilaporkan kehilangan tempat tinggal dan bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang semakin berkurangan.

Konflik antara tentera Sudan dan RSF, yang bermula sejak April 2023, kini telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, memaksa hampir 12 juta orang meninggalkan kediaman mereka.- AFP

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN