fb fb fb fb fb

Penduduk Palestin bantah perintah pengusiran Israel

Foto AFP

JERUSALEM, 9 November - Penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur mengadakan protes di kejiranan Silwan, menentang perintah pengusiran dan perobohan rumah oleh pihak berkuasa Israel yang didakwa mengusir penduduk asal dan menyerahkan rumah mereka kepada peneroka Yahudi.

Penduduk Siwan, Raafat Bsous menegaskan, mereka tetap bertekad untuk kekal di rumah masing-masing walaupun telah menerima arahan pengusiran.

“Kami berada di sini hari ini untuk memberitahu semua bahawa kami teguh dan bertekad untuk terus tinggal di rumah kami. Semua keluarga di sini telah menerima arahan pengusiran dan pemindahan paksa,” katanya.

Raafat turut menegaskan, pengusiran itu adalah satu tindakan tidak adil dan menindas keluarga Palestin yang telah menetap di kawasan itu sejak bertahun-tahun.

“Kini pihak pendudukan datang untuk mengusir kami bagi memberi rumah kami kepada peneroka. Kami menolak pemindahan paksa ini.

"Dengan hak apa kami, anak-anak kami, ibu bapa dan keluarga kami harus dihalau dari rumah sendiri? Kami bersuara lantang dan jelas, tidak kepada pemindahan, tidak kepada pengusiran,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Komuniti Silwan, Zuheir Rajabi menyeru, masyarakat antarabangsa untuk campur tangan menghentikan pengusiran dan menyediakan penyelesaian bagi keluarga yang terjejas.

“Kami ingin sampaikan mesej, ke mana keluarga-keluarga ini harus pergi? Tiada tempat tinggal, walau di Baitulmaqdis sendiri. Mesej kami kepada masyarakat antarabangsa dan seluruh dunia, kami adalah pemilik sah tanah ini.

"Mereka yang mahu menghalau kami mesti menyediakan tempat tinggal bagi keluarga-keluarga ini,” katanya.

Silwan kini menjadi antara kawasan paling terjejas oleh projek peluasan penempatan Yahudi, dengan ratusan keluarga Palestin berdepan risiko kehilangan rumah akibat perintah pengusiran dan perobohan oleh pihak berkuasa Israel.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN