SEOUL, 19 Mac- Menteri Perindustrian Korea Selatan akan mengunjungi Washington, D.C. minggu ini bagi membincangkan kebimbangan negaranya mengenai penyenaraian dalam senarai pantauan Amerika Syarikat selain turut mendesak layanan adil terhadap tarif
Menurut kenyataan kementerian pada Rabu, penetapan Korea Selatan sebagai "negara sensitif" oleh Jabatan Tenaga AS mencetuskan kontroversi di Seoul.
Sekutu AS itu diletakkan dalam kategori terendah dalam senarai pantauan yang turut merangkumi China, Iran dan Korea Utara.
Menteri Perindustrian, Ahn Duk-geun akan mencari langkah untuk segera menyelesaikan isu penetapan sebagai negara sensitif.
Lawatan Ahn dilihat sebagai peluang penting, kata Menteri Luar Korea Selatan, Cho Ta-yul, kepada ahli parlimen pada Rabu ketika ditanya sama ada beliau yakin Washington boleh dipujuk untuk mengeluarkan Korea Selatan daripada senarai tersebut.
Pemangku Duta Besar AS di Seoul, Joseph Yun, pada Selasa menjelaskan bahawa Korea Selatan dimasukkan dalam senarai itu kerana pelawat ke makmal Jabatan Tenaga AS didakwa mengendalikan maklumat sensitif secara tidak wajar.
Dalam pertemuannya dengan Setiausaha Perdagangan dan Tenaga AS, Ahn juga akan menekankan pelaburan besar Korea Selatan di Amerika Syarikat sebagai usaha mendapatkan layanan adil dalam perdagangan sebelum tarif balas AS dikuatkuasakan pada 2 April.
Terdahulu, Menteri perdagangan Korea Selatan turut mengunjungi Washington, bagi mendesak pengecualian negara itu daripada langkah tarif yang dikenakan oleh AS.- REUTER