fb fb fb fb fb

Hidup dalam ketakutan, tentera Sudan pintas serangan dron RSF

Foto AFP

PORT SUDAN, 9 November - Penduduk di bandar El-Obeid, Selatan Sudan berkata, mereka kini hidup dalam ketakutan apabila Pasukan Separa Tentera Sudan, Rapid Support Forces (RSF) dipercayai bersiap sedia untuk menyerang.

Dalam pada itu, tentera Sudan dilaporkan telah memintas serangan dron RSF pada Sabtu.

El-Obeid, ibu negeri Kordofan Utara yang terletak kira-kira 400 kilometer barat daya Khartoum, dianggap lokasi strategik kerana menjadi laluan bekalan utama antara Darfur dan ibu kota Sudan.

Ketegangan meningkat selepas RSF menawan El-Fasher, kubu terakhir tentera di Darfur barat, yang disusuli laporan pembunuhan beramai-ramai, keganasan seksual dan rompakan sehingga mencetuskan kecaman antarabangsa.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dalam serangan ke atas satu majlis pengebumian di El-Obeid, manakala lebih 36,000 orang melarikan diri selepas RSF menawan bandar Bara di utara.

Walaupun RSF mendakwa menerima cadangan gencatan senjata daripada Amerika Syarikat, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu, PBB berkata, tiada tanda pengurangan pertempuran.

Sejak perang meletus lebih dua tahun lalu, konflik antara tentera Sudan dan RSF telah meragut puluhan ribu nyawa, memaksa hampir 12 juta orang melarikan diri, dan menyebabkan krisis kebuluran yang semakin parah.- AFP

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN