fb fb fb fb fb

Harga makanan global turun 13.7 peratus pada 2023 - FAO

Foto Fail AFP

PARIS, 6 Januari - Harga makanan dunia jatuh pada 2023, dengan penurunan yang ketara untuk bijirin dan minyak apabila kebimbangan bekalan semakin berkurangan, kata Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Secara keseluruhannya, harga komoditi makanan dunia jatuh 13.7 peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, kata FAO yang berpangkalan di Rom.

Indeks harga bijirin FAO jatuh 15.4 peratus, "mencerminkan pasaran global yang dibekalkan dengan baik" berbanding 2022, apabila harga melambung tinggi selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Walaupun kebimbangan bekalan berkurangan untuk gandum dan jagung, ia juga berlaku ke atas beras disebabkan kesan fenomena cuaca El Nino dan juga sekatan eksport oleh India dimana harga beras melonjak kepada 21 peratus, tahun lepas.

Indeks harga minyak sayuran mencatatkan kejatuhan terbesar tahun lalu iaitu 32.7 peratus disebabkan bekalan yang bertambah baik dan pengurangan penggunaan untuk pengeluaran biofuel.

Harga gula pula melonjak 26.7 peratus secara keseluruhan walaupun terdapat penurunan daripada paras tertinggi pada bulan Disember oleh kerana Brazil meningkatkan eksport dan mengurangkan penggunaan bahan api bio.

Walaupun indeks keseluruhan FAO jatuh, harga makanan pengguna di kebanyakan negara meningkat lebih cepat daripada kadar inflasi keseluruhan.

"Hakikat bahawa harga komoditi makanan jatuh tidak semestinya bermakna penurunan harga makanan," kata Pakar Ekonomi dan Industri Makanan, Bruno Parmentier.

Indeks FAO mengukur harga pasaran komoditi dan ia boleh mengambil sedikit masa untuk ditapis sehingga ke rak pasar raya dan ia mewakili sebahagian kecil sahaja daripada kos produk akhir yang diproses.

“Tepung hanya mewakili empat hingga lapan peratus daripada harga baguette. Kebanyakannya adalah kos buruh dan kos pengeluaran seperti tenaga, air dan sewa," tambah Parmentier.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN