LIMA, 22 Mac- Kongres Peru pada Jumaat telah mengundi untuk memecat Menteri Dalam Negeri, Juan Jose Santivanez, selepas beliau gagal menangani peningkatan jenayah ganas yang semakin membimbangkan, susulan pembunuhan penyanyi terkenal negara itu.
Keputusan pemecatan itu dibuat menerusi undi majoriti 79 menyokong, 11 menentang, dan 20 berkecuali, atas alasan kelemahan pentadbiran serta kegagalan menangani krisis keselamatan yang dihadapi rakyat Peru.
Pemecatan Santivanez berlaku selepas pembunuhan Paul Flores, 39, penyanyi kumpulan cumbia terkenal Armonia 10, yang ditembak mati pada Ahad lalu oleh kumpulan penjenayah selepas satu konsert di luar ibu negara, Lima.
Kumpulan jenayah tersebut dilaporkan meminta wang perlindungan daripada Armonia 10 dan mengancam untuk membunuh Flores sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Keputusan Kongres dibuat hanya beberapa jam sebelum satu demonstrasi besar-besaran dijadualkan berlangsung di Lima bagi mendesak kerajaan bertindak lebih tegas terhadap racket dan pembunuh upahan, termasuk menuntut peletakan jawatan Santivanez.
Susulan insiden tersebut, kerajaan pada Isnin telah mengisytiharkan darurat selama sebulan di ibu negara, membolehkan tentera dikerahkan bagi membantu polis mengekang jenayah terancang.
Peru kini berdepan peningkatan jenayah racket, sebahagian daripada gelombang jenayah yang melanda negara-negara Amerika Latin yang sebelum ini dianggap selamat.
Pelbagai komuniti hidup dalam ketakutan akibat ancaman kumpulan jenayah terancang, termasuk Tren de Aragua, sebuah sindiket jenayah antarabangsa berpangkalan di Venezuela.
Sindiket ini sering memeras wang perlindungan daripada pemandu bas, peniaga, pendandan rambut, malah guru, dengan ancaman keganasan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Presiden Dina Boluarte kini mempunyai tempoh 72 jam untuk melantik Menteri Dalam Negeri baharu bagi menggantikan Santivanez.-AFP