DHAKA, 6 Januari- Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk seorang kanak-kanak, maut dalam insiden kebakaran kereta api, menjelang pilihan raya umum yang diboikot parti pembangkang utama.
Lapan lagi cedera apabila api merebak ke empat gerabak Ekspres Benapole ke Dhaka sekitar jam 9 malam (1500 GMT) semalam.
Pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), memboikot buat kali kedua dalam tiga pilihan raya, menyifatkan pungutan suara sebagai muslihat Liga Awami pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina untuk menghalalkan undi palsu yang akan memihak partinya, empat penggal berturut-turut.
Hasina, yang menolak tuntutan BNP untuk meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada pihak berkuasa berkecuali untuk menjalankan pilihan raya, menuduh parti pembangkang itu mencetuskan protes antikerajaan yang menggegarkan Dhaka sejak akhir Oktober dan membunuh sekurang-kurangnya 10 orang di negara Asia Selatan itu.
Bulan lalu penunjuk perasaan membakar kereta api, membunuh empat orang semasa mogok di seluruh negara.
Pegawai kanan BNP, Ruhul Kabir Rizvi berkata insiden pada hari Jumaat di Benapole Express adalah "tidak syak lagi satu tindakan sabotaj dan kekejaman terhadap kemanusiaan, menyalahkan parti pemerintah.
Pemimpin parti Liga Awami tidak serta-merta memberi ulasan.
Kebakaran kereta api di kawasan Wari di Dhaka berjaya dikawal oleh tujuh unit pemadam kebakaran selepas kira-kira sejam, kata pegawai bomba Shahjahan Sikder.
“Siasatan sedang dijalankan, tetapi nampaknya kereta api itu sengaja dibakar,” kata pegawai polis kereta api Ferdous Ahmed.
Seorang pegawai di balai polis Wari berkata polis mengesyaki ia adalah perbuatan "sabotaj" dan akan dapat mengesahkan punca kebakaran hanya selepas siasatan.
BNP telah meminta rakyat mengelak membuat pengundian dan menggesa mogok dua hari di negara ini mulai hari ini.
Kira-kira 800,000 anggota polis, separa tentera dan bantuan polis akan mengawal pusat mengundi esok.
Pegawai tentera, tentera laut dan udara juga telah ditempatkan di seluruh negara bagi mengawal keselamatan.- REUTERS