fb fb fb fb fb

Ekonomi Lubnan rugi lebih $5 bilion akibat perang - Bank Dunia

Penyelamat membawa keluar mayat mangsa dari lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di bandar timur Lubnan, Baalbek pada 14 November 2024/AFP

Beirut, 15 November- Lebih setahun pergolakan yang memuncak menjadi perang telah menyebabkan kerugian ekonomi melebihi AS$5 bilion di Lubnan dengan kerosakan struktur bernilai berbilion lagi, menurut Bank Dunia.

Bank Dunia menganggarkan kerugian ekonomi Lubnan antara 8 Oktober 2023 dan 27 Oktober 2024 berjumlah AS$5.1 bilion, manakala kerosakan struktur bernilai sekurang-kurangnya AS$3.4 bilion tambahan terutama dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pertanian.

Konflik itu turut merosakkan kira-kira 99,209 unit kediaman di selatan Lubnan berhampiran sempadan dengan Israel mengakibatkan kerosakan bernilai AS$2.8 bilion.

Sejak 23 September, Israel meningkatkan serangan udara di Lubnan dan menghantar tentera darat selepas hampir setahun pertukaran serangan rentas sempadan oleh Hizbullah susulan perang di Gaza.

Kementerian Kesihatan Lubnan hari ini melaporkan lebih 40 orang terbunuh dalam serangan terbaharu Israel di selatan dan timur Lubnan termasuk di pusat pertahanan awam di Baalbek.

Jumlah korban di Lubnan kini melebihi 3,400 orang sejak pergolakan bermula dengan majoriti kematian berlaku sejak akhir September.

Serangan Israel turut memuncak di Damsyik mengorbankan 20 orang termasuk pejuang Jihad Islam Palestin dan pejuang yang disokong Iran yang turut berperang bersama Hamas menentang Israel di Gaza.

Ketua pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Jean-Pierre Lacroix menyatakan pengagihan semula tentera Lubnan di kawasan selatan penting untuk penyelesaian jangka panjang konflik antara Israel dan Hizbullah.

Serangan Israel di Syria juga meningkat termasuk serangan di kawasan berhampiran sempadan Lubnan yang menyasarkan pangkalan Hizbullah yang disokong Iran. -AFP

SITI AISHAH MD ISA